Perutusan Pengurus Besar


PENEKANAN KEPADA PENJAGAAN IMEJ KORPORAT MELALUI PELAKSANAAN EKSA
DI LEMBAGA KEMAJUAN WILAYAH PULAU PINANG (PERDA)



Dalam era penyampaian perkhidmatan awam yang semakin mencabar dan berdaya saing, penjagaan imej korporat sesebuah organisasi bukan lagi satu pilihan, tetapi satu keperluan strategik. Justeru, Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA) terus komited dalam memperkukuh pelaksanaan Ekosistem Kondusif Sektor Awam (EKSA) sebagai salah satu langkah utama ke arah mempertingkatkan profesionalisme, ketelusan dan kredibiliti organisasi di mata masyarakat.

EKSA bukan hanya tertumpu kepada aspek kebersihan dan kekemasan ruang kerja semata-mata, tetapi turut mencerminkan budaya kerja yang berkualiti, pengurusan yang sistematik serta citra korporat yang unggul. Ia merupakan cerminan kepada nilai, etika dan identiti organisasi yang mampu memberikan impak besar terhadap persepsi masyarakat umum, rakan strategik, dan pelanggan terhadap PERDA sebagai sebuah agensi pembangunan yang berwibawa dan diyakini.

Selaras dengan aspirasi ke arah pembudayaan kerja yang lebih menyeluruh dan inklusif, PERDA telah mengambil langkah yang progresif dengan menyusun struktur zon EKSA di bawah satu jenama Zon SENTOSA. Nama ini dipilih bukan sekadar simbolik kepada suasana kerja yang sejahtera, harmoni dan kondusif, malah mencerminkan kesatuan dalam kepelbagaian serta tekad kolektif untuk membudayakan amalan kerja yang unggul dan berprestasi tinggi. Menariknya, SENTOSA juga membawa maksud tersirat yang mengangkat nilai-nilai teras organisasi melalui akronim berikut:

S - Sistematik
E -  Efisien
N - Nilai murni
T - Tanggungjawab
O - Organisasi cemerlang
 - Saling bekerjasama
A  - Amanah

Akronim ini mencerminkan sikap dan budaya yang perlu diterapkan dalam persekitaran kerja seharian bagi memastikan tahap produktiviti, kesepaduan, dan keharmonian dapat dipertingkatkan secara berterusan untuk persekitaran kerja yang kondusif.

Sebagai salah satu langkah pemantapan pelaksanaan EKSA serta menjamin kesinambungan dan kelestarian amalan EKSA yang telah diterapkan selama ini maka Aktiviti Harian EKSA akan diteruskan iaitu untuk tempoh 5 minit sebelum kakitangan pulang ke rumah. Aktiviti Harian EKSA ini hanya mengfokuskan ruang kerja kakitangan sahaja agar sentiasa berada dalam keadaan yang kemas dan teratur. Program Gotong-Royong Mingguan pula akan dilaksanakan pada setiap hari Jumaat. Program ini bukan sahaja bertujuan memperindah ruang kerja dan persekitaran pejabat secara fizikal, malah menjadi wahana penting untuk menyemai semangat kebersamaan, rasa tanggungjawab serta kebanggaan dalam kalangan warga PERDA terhadap organisasi.

Selain itu, semua kakitangan adalah diingatkan agar membuat persiapan rapi dan memastikan pematuhan menyeluruh terhadap elemen-elemen utama EKSA. Proses audit akan dijalankan dari masa ke masa kerana ianya amat penting sebagai satu penilaian objektif terhadap pelaksanaan semasa serta sebagai dorongan kepada penambahbaikan yang berterusan.

Dalam hal ini, Jawatankuasa EKSA PERDA diseru untuk memainkan peranan yang lebih agresif dan proaktif dalam menyampaikan hebahan, menyebarluaskan maklumat serta menggalakkan penglibatan aktif seluruh warga kerja. Penyertaan menyeluruh daripada semua peringkat amat penting bagi memastikan keberkesanan pelaksanaan EKSA.

Syabas dan tahniah juga diucapkan kepada seluruh Jawatankuasa EKSA PERDA serta yang telah menunjukkan dedikasi tinggi dalam memastikan EKSA dilaksanakan dengan teratur dan konsisten. Teruskan usaha murni ini dengan penuh integriti dan semangat kerja berpasukan. Saya yakin dan percaya, dengan kesatuan tekad dan iltizam seluruh warga PERDA, kita mampu melonjakkan lagi budaya kerja cemerlang dan seterusnya memperkukuh imej korporat organisasi ke tahap yang lebih membanggakan. Bersama kita jayakan EKSA sebagai tonggak kepada kecemerlangan organisasi dan penanda aras kepada agensi awam lain.

Sekian, terima kasih.

Dato’ Haji Mohd Asri bin Baharum
Pengurus Besar
Lembaga Kemajuan Wilayah Pulau Pinang (PERDA)